KUALA LUMPUR – Melihat senarai calon Pas Kelantan yang diumumkan malam tadi, tidak nampak kesungguhan parti itu untuk menang, melainkan bagi menyelamatkan beberapa pemimpinnya yang bakal kalah jika bertanding di tempat sendiri.
Sebagai contoh, Pas mengambil calon import seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man diletakkan di Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Marzuk Shaary dari Bachok diletakkan di Pengkalan Chepa, manakala Nik Mohamad Abduh dari Pasir Mas diletakkan di Bachok.
Tuan Ibrahim yang berasal dari Jengka, Pahang dan pernah menang serta kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebelum ini dilihat tidak mempunyai peluang untuk menang jika bertanding di tempat sendiri.
Justeru, Pas Pusat menghijrahkan beliau dari Pahang ke Kelantan, yang dianggap sebagai negeri paling selamat untuk masa depan politik Tuan Ibrahim.
Begitu juga Nik Mohamad Abduh, selepas gagal menunjukkan sikap kepimpinan kepada rakyat parlimen itu yang memberi kemenangan kepadanya pada PRU13, terpaksa dipindahkan ke Bachok.
Jika anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikekalkan menyandang kerusi Parlimen Pasir Mas, beliau awal-awal lagi akan ‘disembelih’ oleh rakyat kawasan itu, yang kecewa dan marah kepadanya kerana sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat, beliau tidak mempedulikan permasalahan dihadapi.
Beliau yang awalnya dijangka dipindahkan ke kerusi Parlimen Rantau Panjang, tetapi telah ditukar ke Bachok pada saat-saat akhir, menyebabkan penyandangnya, Ahmad Marzuk Shaary ditukar ke Parlimen Pengkalan Chepa.
Apakah motif Pas Pusat menempatkan Nik Mohamad Abduh di Bachok, bukan di Pengkalan Chepa tempat kelahirannya dan tentunya mempunyai ramai penyokong iaitu pengaruh daripada ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan arwah ayahnya?
Kenapa penyandang dari Bachok, yang sebenarnya lebih selesa dengan pengundi di kawasan itu diletakkan di Pengkalan Chepa, suatu kawasan yang asing bagi Ahmad Marzuk dan berdepan dengan pengundi yang belum biasa dengannya.
Apakah pucuk pimpinan Pas mahu menamatkan karier politik beberapa calon ini melalui pemindahan tempat bertanding? – MalaysiaGazette