KUALA LUMPUR – Berpakaian busana Melayu siap bertanjak menjadikan calon bebas Parlimen Pandan pada PRU-14 menarik perhatian ramai.
Itu gaya bersahaja peguam muda, Mohd. Khairi Azam Abdul Aziz.
Berusia 41 tahun dan lebih dikenali sebagai Buzze Azam di media sosial itu menggunakan logo rumah sebagai calon.
“Saya menawarkan diri bertanding dan akan membuat manifesto sendiri tidak lama lagi dan akan berkempen..tidak kiralah di mana, bawah pokok pun jadi,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika ditemui selepas penamaan calon di sini hari ini.
Menurut Mohd, Khairi Azam, beliau sebelum ini menawarkan khidmat guaman sebaga cara berkempen dan akan meneruskannya sepanjang PRU-14.
Mempunyai firma guaman sendiri di Sentul, beliau juga terlibat dalam pembelaan kes melibatkan pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik dan kes melibatkan Sultan Johor.
Beliau juga peguam mewakili seorang individu di Gombak yang mendakwa dirinya sebagai ‘Sultan Melaka’.
“Baru semalam saya ada berbincang dengan ‘Sultan Melaka’ dan dia adalah pengundi di sini (Pandan),” katanya.-MalaysiaGazette