BUTTERWORTH – Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan nyaris hilang peluang bertanding di Parlimen Bagan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini apabila tersangkut dengan logo partinya yang didakwa gagal dikemaskini oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Keadaan itu menyebabkan SPR mengalami kelewatan untuk memberi pengesahan permohonan pencalonannya.
Ia mengakibatkan keputusan proses penamaan calon bagi Parlimen P.043 Bagan dan tiga kerusi DUN di bawahnya yang sepatutnya diumumkan secepat mungkin sejurus selepas ditutup tepat pukul 10 pagi, hanya dapat diumumkan pada 1 petang.
Pengurus SPR Parlimen Bagan, Datuk Sr. Rozali Mohamud mengumumkan keputusan itu dengan mengesahkan kertas pencalonan daripada empat calon termasuk Cheng Guan telah diterima dan tiada sebarang penolakan.
Pengumuman itu memberi kelegaan kepada Cheng Guan.
Cheng Guan pada mulanya dibenarkan masuk tanpa halangan selepas segala proses semakan oleh SPR dijalankan.
Setelah proses penamaan calon ditutup dan cabutan nombor dilakukan oleh Pengurus SPR Pusat Rozali untuk menetapkan kedudukan calon parti dalam kertas undi semasa hari memilih pada 9 Mei ini.
Dalam cabutan ituPCM memperolehi nombor satu dalam kedudukan kertas undi.
Pada peringkat ini, timbul masalah apabila beliau dimaklumkan mengenai masalah logo baharunya.
“Saya telah mengemukakan logo baharu parti tahun lalu sebelum SPR meminta saya membuat pengesahan Pendaftar Pertubuhan(RoS).
“Maka saya memohon kepada RoS dan saya telah medapat kelulusan dan RoS sudah maklumkan kepada SPR, tapi hari ini SPR kata saya tak boleh pakai logo baharu dan minta saya pakai logo lama.
“Ini bukan kesalahan saya sebenarnya. Saya memang dari awal dah agak kekecohan seperti ini mungkin akan berlaku. Kalau pakai logo lama nanti bendera dan poster yang dicetak akan berbeza dengan logo bertanding,” dakwanya. – MalaysiaGazette