Home Politik Pilih wakil rakyat bukan wakil negara- Johari

Pilih wakil rakyat bukan wakil negara- Johari

Datuk Jo
Arkib Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR- Optimis dengan kerja keras dan kejayaannya berkhidmat kepada rakyat di kawasannya, penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak gentar berhadapan dengan dua lawan pada pilihanraya umum ke-14 nanti.

Beliau yang akan ditentang oleh calon PAS, Mohaman Noor Mohamad dan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan, Rina Harun berkata, beliau menyerahkan keputusan di tangan rakyat.

Katanya, pengundi pada hari ini patut membuat penilaian untuk memberi undi kepada calon yang mampu menjadi wakil rakyat dan bukannya wakil negara.

“Saya nasihatkan pengundi supaya memilih wakil rakyat dan bukannya wakil negara.

“Wakil rakyat ini ada ciri-ciri yang perlu tekankan iaitu wakil yang selalu kita boleh jumpa, mereka rajin turun padang dan jika ada sebarang masalah, penduduk boleh terus berhubung dengan mereka atau boleh datang ke pusat khidmat yang dibuka.

“Macam saya, saya adalah wakil rakyat Parlimen Titiwangsa maka saya kena berkhidmat kepada rakyat di sini dan dalam masa yang sama saya juga Menteri Kewangan Kedua.

“Menjadi wakil atau suara rakyat dan tugas memimpin negara adalah dua perkara yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas selepas mengisi borang pencalonan untuk PRU-14 di sini hari ini.

Tambah Johari, sama seperti PRU-13, lima tahun lalu, beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada rakyat sebaliknya berharap pengundi di kawasan tersebut melihat rekod lampau hasil perkhidmatannya selama lima tahun menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa.

“Saya telah berusaha sehabis daya dan itulah yang terbaik yang saya mampu lakukan,” katanya lagi.

Tambah Johari, beliau berharap, pada PRU kali ini setiap calon yang bertanding mempromosikan satu budaya baharu iaitu membentangkan misi dan visi idealogi masing-masing dan bukannya membuat fitnah kepada satu sama lain.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast