TANJUNG KARANG – Tiada calon Bebas didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di ketiga-tiga kerusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tanjung Karang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong dan DUN Permatang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Bagaimanapun pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan di ketiga-tiga kerusi itu pada pilihan raya kali ini kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas masing-masing meletakkan calonnya.
Penyandang Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak lima penggal lalu dan kali ini beliau akan dicabar oleh calon PPBM, Kapten (B) Datuk Dr Zulkaferi Hanafi dan calon Pas, Nor Az Azlan Ahmad.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN Sungai Burong, Datuk Samsudin Lias pula akan berdepan calon Pas, Mohd Zamri Mohd Zainuldin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zambri Mantop dan calon PPBM, Mohd Tarmizi Lazim.
Manakala kerusi N09 DUN Permatang yang disandang oleh wakil BN, Datuk Sulaiman Abdul Razak sejak dua penggal lalu pula dicabar oleh calon Pas, Muhammad Jafaruddin Syeik Daud dan calon PKR, Rozana Zainal Abidin.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tanjong Karang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor mengesahkan pertandingan tiga penjuru di ketiga-tiga kerusi berkenaan kira-kira 11.38 pagi di luar pekarangan Dewan Datuk Hormat, di sini.
Pusat penamaan calon bagi Dewan Datuk Hormat di sini ditutup tepat jam 10 pagi tadi dan tiada sebarang bantahan diterima oleh SPR daripada mana-mana parti bertanding sama ada BN, PH mahupun Pas.
Sebelum itu ketiga-tiga calon Pas Nor Az, Mohd Zamri dan Mohd Jafaruddin yang memakai baju Melayu bersampin hijau tiba di pekarangan Dewan Datuk Hormat, di sini, kira-kira 8.28 pagi tadi bagi mengemukakan borang pencalonan.
Bagi calon pakatan pembangkang pula, Dr Zulkaferi dan Mohd Tarmizi memakai baju Melayu putih tiba kira-kira 8.44 pagi di tempat sama.
Lebih 500 penyokong BN, Pas dan PH mengiringi calon masing-masing dan membanjiri sekitar pusat penamaan calon seawal jam 7 pagi tadi dan dikawal ketat oleh pihak polis. – MalaysiaGazette