PEKAN – “Abang wartawan ke? Nanti cakap dengan Datin Seri Rosmah (Mansor) saya minta maaf. Saya rasa bersalah pula,” kata pelajar istimewa, Mohamad Fikri Sabri.
Mohammad Fikri, 18, meminta saya membuat permohonan maaf itu selepas tindakan beraninya bertanya soalan secara spontan kepada isteri Perdana Menteri itu semasa beliau bersalaman dengan orang ramai di di Dewan Canselori, DRB-Hicom University, Pekan di sini hari ini.
Menurutnya, ketika Rosmah menghampirinya, remaja penghidap autisme itu terus bertanyakan soalan.
Kata Mohamad Fikri, dia bertanya soalan adakah sukar untuk Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Menurutnya, Rosmah melayannya sambil berkata; “Biasalah jadi Perdana Menteri. Memang sibuk dan kena perlu fikir semua benda” jawab Rosmah yang diulangnya.
“Tapi saya rasa bersalah pula tanya tiba-tiba tanya ketika Datin Seri berjalan kerana takut mengganggu beliau semasa tengah berjalan” kata Mohd. Fikri.
Mohamad Fikri ditemui pada majlis perasmian Hari Guru dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Pekan oleh Datuk Seri Najib Razak.
Rosmah menemani Najib menyampaikan anugerah tersebut.
Mohammad Fikri yang menerima Anugerah Tokoh Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dipilih kerana mendapat keputusan cemerlang 8A 1B.
Lebih istimewa, anak bongsu daripada lima beradik yang peramah itu merupakan pelajaran aliran sains tulen.
Sebelum itu di atas pentas, Mohamad Sabri turut ‘mencuri perhatian’ hadirin apabila sempat berbual dengan Najib sebelum menjerit melaungkan slogan yang dipercayai watak kartun yang diminatinya.
Sementara itu, bapanya, Sabri Abdullah berkata, anaknya belajar di rumah sahaja dan tidak mengikut waktu.
Jelas Sabri, 56, Mohammad Fikri mula dapat membaca pada usia lapan tahun namun tidak faham apa yang dibacanya.
Katanya yang bekerja pengawal keselamatan, sejak memasuki sekolah rendah hingga tamat SPM, beliau menghantar dan mengambil anaknya itu ke sekolah setiap hari.
“Mohamad Fikri selepas ini akan masuk sambung pelajaran di tingkatan enam kerana sekolah berdekatan dengan rumah. Jadi senang saya untuk menghantar dan mengambil di sekolah kerana keluarga belum bersedia untuk melepaskannya berdikari di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Namun tahun depan saya akan pencen dan jika dia akan sambung pelajaran di IPT, saya akan ikut dan teman dia di sana,” katanya. – MalaysiaGazette