Calon Barisan Nasional (BN) untk kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Dhinagaran Jayabalan bergambar kenangan bersama peserta pada Labour Day Fun Walk di Taman Bagan, Pulau Pinang. foto IQBAL BASRI, 01 MEI 2018.
Calon Barisan Nasional (BN) untk kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Dhinagaran Jayabalan bergambar kenangan bersama peserta pada Labour Day Fun Walk di Taman Bagan, Pulau Pinang. foto IQBAL BASRI, 01 MEI 2018.

BAGAN DALAM – Rata-rata masyarakat Cina bukan sahaja mula ‘celik’ malah sokongan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) mula ditonjolkan secara terbuka di Pulau Pinang.

Adalah sesuatu yang ‘luar biasa’ dan mengejutkan untuk menyaksikan lebih 1,500 penduduk sekitar Bagan menyertai larian mesra ‘Walkathon’ sempena Hari Pekerja yang dianjurkan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, J. Dhinagaran awal pagi tadi.

Walaupun hujan lebat sejak awal pagi pada hari cuti umum, rata-rata pengundi kawasan tersebut bukan sahaja menyertai aktiviti yang diadakan itu malah mereka juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon Parlimen Bagan, Lee Beng Seng dan Dhinagaran.

Mereka yang tidak mengendahkan keadaan cuaca itu dilihat bersemangat menyertai larian yang diadakan itu selain turut mengikuti aktiviti Zumba dan menikmati sarapan pagi bersama-sama pemimpin BN di Taman Bagan Dalam, Pulau Pinang.

Selama ini, rata-rata pengundi terutamanya masyarakat Cina begitu ‘gerun’ untuk bersama pemimpin BN, malah tidak berapa gemar menonjolkan diri secara terbuka.

Menurut Dhinagaran, beliau sudah mula menerima sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat malah wajahnya sudah sinonim di kawasan itu kerana sering turun padang walaupun ketika itu belum lagi menjadi calon.

“Pada saya, sokongan terbuka yang ditunjukkan oleh mereka sebenarnya bukan sahaja memberi keyakinan dan semangat, malah diri rasa dihargai walaupun belum sampai masa mengundi lagi.

“Menang atau kalah, saya tahu penduduk di sini. Malah mungkin keseluruhan Pulau Pinang sedia maklum apakah jenis sumbangan serta jasa kerajaan BN selama ini. Mereka tahu apa yang kita lakukan ini sebenarnya adalah demi dan untuk kepentingan mereka.

“Saya telah didatangi oleh pelbagai lapisan masyarakat sekitar Bagan dengan pelbagai isu, kita telah menggunakan berbagai saluran untuk membantu mereka. Rakyat tahu mereka tidak perlu pulang dengan hampa jika datang kepada kita.

“Kita juga tidak pernah ‘bermusuh’ dengan mereka kerana tidak mengundi atau mempercayai keupayaan kita dan menghargai jasa kita sebaliknya dengan tangan terbuka menerima kehadiran mereka.

“Sebagai ahli politik yang matang, kita seharusnya sedar tentang hakikat perjuangan kita. Rakyat perlu didahulukan tidak kira apa jua lapangan, kepentingan mereka perlu menjadi matlamat. Lama-lama mereka juga akan nampak sumbangan dan niat. Walaupun ini adalah kubu kuat pembangkang, tetapi saya diterima kerana matlamat itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Dhinagaran Jayabalan menyarungkan pingat kepada peserta yang berjaya menamatkan larian pada Labour Day Fun Walk di Taman Bagan, Pulau Pinang. foto IQBAL BASRI, 01 MEI 2018.

Dalam pada itu, ketika disoal tumpuan beliau jika menang kerusi tersebut, Dhinagaran memberitahu, misi utamanya ialah menyelesaikan isu pemilikan rumah mampu milik yang dihadapi rakyat terutama generasi muda.

“Kebanyakan rumah yang sedang dibina adalah di luar kemampuan untuk rakyat memilikinya dan ini menimbulkan masalah bagi generasi akan datang pada jangka panjang. Susah untuk beli atau miliki rumah di negeri ini.

“Ramai yang datang jumpa saya semuanya mengadu tentang rumah mampu milik dan kesukaran mereka terutamanya apabila kos sara hidup juga meningkat mendadak. Sebagai wakil rakyat, kita mampu melakukan pelbagai perubahan,” ujarnya.

Pulau Pinang yang berada di bawah pemerintahan DAP sejak dua penggal lepas dilihat sebagai kubu kuat Pakatan Harapan tetapi ia tidak membantutkan peluang BN menambah kerusi, baik di peringkat negeri mahu pun Parlimen.

Walaupun ramai sudah meramalkan BN menghadap kesukaran untuk menang di Pulau Pinang, malah jika dilihat di atas kertas hampir mustahil untuk BN merampas semula negeri itu namun masyarakat juga sudah semakin celik.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada penyelaras parti yang turun padang, sambutan daripada pengundi Cina tidak lagi seteruk PRU lepas. – MalaysiaGazette

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Guna Sundari Ramayah turut mengambil bahagian dalam acara senamrobik pada Labour Day Fun Walk di Taman Bagan, Pulau Pinang. foto IQBAL BASRI, 01 MEI 2018.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast