KUANTAN – Calon dan penyandang kerusi Parlimen Kuantan melahirkan rasa pelik dengan sikap parti Pas menjelang PRU-14 ini.
Fuziah Salleh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Pas sentiasa menghentamkan Pakatan Harapan (PH) bukan Barisan Nasional (BN).
Jelasnya, senario itu dapat dilihat apabila calon-calon Pas menjadikan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai sebagai sasaran mereka dalam kempen ceramah PRU-14.
“Saya sebenarnya lebih risau dengan calon dari Pas kerana parti ini sering hentam PH. Mereka menjadikan Mahathir sebagai sasaran dan tidak pula menghentam BN.
“Itu yang saya pelik dan saya lebih risaukan calon Pas pada PRU-14,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Pada PRU-14 ini, Parlimen Kuantan menyaksikan pertembungan antara Fuziah, calon BN Datuk Andrew Wong dan calon Pas, Sulaiman Mat Derus.
Mengulas dakwaan Andrew Kuantan bukan lagi kubu kuat PKR, Fuziah berkata, biarlah pengundi menentukan siapa yang ‘tersungkur’ kali ini.
“Kita tunggu dan lihat tapi sokongan pengundi terus kuat sampai jadual kempen saya ‘lari’ kerana perlu melayan mereka yang ingin menyatakan sokongan,” katanya. – MalaysiaGazette