BANTING – Dasar Pembangunan Keusahawanan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor masih jauh ketinggalan hingga meminggirkan usahawan Melayu khususnya golongan wanita di Parlimen Kuala Langat.
Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia berbeza dengan pendekatan dilakukan pihaknya bagi memastikan setiap wanita mempunyai ‘dompet’ sendiri menerusi keusahawanan.
“Saya dapati ramai ibu tunggal di Kuala Langat memerlukan pembangunan khususnya keusahawanan.
“Ramai wanita di sini mempunyai potensi untuk menjadi usahawan kecil dan besar, cuma mereka tak membangun di bawah PKR Selangor. Mereka sudah kecewa dan mahu dompet sendiri.
“Kita wanita BN ada perjuangan di mana saya nak tengok setiap wanita Malaysia mesti mempunyai dompet sendiri,” katanya selepas Walkabout bersama calon DUN Morib, Rozana Kamarulzaman di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kemuning, di sini, hari ini.
Shahrizat juga berkata, sekiranya wanita mahu ‘dompet’ mereka diperjuangkan, mereka perlu memilih parti yang benar-benar berupaya membangunkan negara.
“Nak ada dompet ini, negara kena stabil, aman, kena ada pembangunan, ekonomi kena baik.
“Pembangkang tak boleh buat semua itu, pembangkang cakap saja,” katanya. – MalaysiaGazette