Jadual Kumpulan A dan Kumpulan B yang bakal bersaing pada Piala AFF Suzuki 2018 yang dijadual berlangsung dari 8 Nov hingga 15 Dis. - Facebook/AFF Suzuki Cup
Jadual Kumpulan A dan Kumpulan B yang bakal bersaing pada Piala AFF Suzuki 2018 yang dijadual berlangsung dari 8 Nov hingga 15 Dis. - Facebook/AFF Suzuki Cup
KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mendapat laluan mudah untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat kalah mati pada kejohanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 yang dijadual berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember ini.

Berdasarkan undian dijalankan di Jakarta, Indonesia semalam yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook AFF, skuad negara di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe diundi bersama-sama pasukan bukan pilihan – Myanmar, Laos serta Kemboja, dengan pencabar utama adalah juara edisi 2008, Vietnam dalam Kumpulan A.

Juara bertahan, Thailand mengetuai Kumpulan B yang dianggap ‘Kumpulan Maut’ bersama-sama juara empat kali Singapura, naib juara lima kali Indonesia, Filipina dan juga pemenang aksi play-off antara Timor Leste dan Brunei.

“Pasukan kita dianggap ‘underdog’ kerana skuad ini kebanyakannya pemain muda dan kita akan menghadapi perlawanan ini satu demi satu, dan berharap dapat melakukan yang terbaik pada setiap perlawanan pada edisi kali ini,” katanya kepada pemberita selepas undian tersebut.

Kenyataannya melalui audio itu disediakan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengikut format baharu, kejohanan berkenaan diperluaskan kepada 10 pasukan ASEAN berbanding lapan sebelum ini, dengan negara masing-masing berada di ranking ke-10 dan 11 – Brunei dan Timor Leste akan beraksi dalam perlawanan play-off bagi menempah satu slot ke undian utama.

Setiap kumpulan terdiri daripada lima pasukan, dengan kesemuanya beraksi dua perlawanan di tempat sendiri serta dua aksi di gelanggang lawan, dan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.

Untuk rekod, Malaysia hanya muncul juara kejohanan itu pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, selepas skuad negara menewaskan tuan rumah bersama, Indonesia 4-2 secara agregat dalam dua aksi final. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast