ALOR SETAR – Beria-berita palsu akan lebih banyak lagi disebarkan oleh pembangkang apabila semakin dekat tempoh mengundi pada 9 Mei ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, senario tersebut boleh dijangka apabila pembangkang sudah pun melakukan serangan terhadap kerajaan dan menyebarkan berita-berita palsu untuk meraih simpati rakyat.

“Mereka (pembangkang) akan menjadikan serangan peribadi dan pembunuhan karakter… tidak perlu menyebut nama penyerang atau dari organisasi mana.

“Bagaimanapun, mereka perlu tahu bahawa kita mempunyai undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap tuduhan palsu,” kata beliau semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Baling hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memberi jaminan kerajaan tidak berkompromi dengan pihak tidak bertanggungjawab yang membuat berita palsu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

“Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang menerbitkan dan menyebarkan berita palsu… tunggu masa untuk sampai ke individu dan organisasi itu.

“Ini bukan amaran…saya bukan menteri amaran, tetapi saya yakin SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) dan polis akan mengambil tindakan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, pemimpin utama pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad telah disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung dakwaan pesawat sepatutnya membawa beliau ke Pulau Langkawi, Kedah disabotaj. – MalaysiaGazette