Manaff Kechik (kiri) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Datuk Shamsuddin Ahmad di Kubang Pasu, Kedah.
Manaff Kechik (kiri) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Datuk Shamsuddin Ahmad di Kubang Pasu, Kedah.

KUBANG PASU – Jentera Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kubang Pasu bakal lumpuh susulan tindakan 437 ahli akar umbi parti tersebut yang mengumumkan keputusan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Lebih mengejutkan, tindakan keputusan itu diketuai oleh pencadang calon PKR, Manaff Kechik yang meletak semua jawatan dalam PPBM dan membawa bersama-samanya ahli parti lain yang tidak lagi memperjuangkan agenda dibawa parti pembangkang tersebut.

“Dengan ini, saya mengumumkan peletakan jawatan semua jawatan-jawatan saya di dalam PPBM Kubang Pasu.

“Saya juga mengumumkan menarik diri sebagai pencadang kepada calon Parlimen PKR di Kubang Pasu, Datuk Datuk Amiruddin Hamzah,” kata beliau dalam satu sidang media di pusat pilihan raya BN hari ini.

Kira-kira 30 orang bersama-sama dengan Manaff menyerahkan borang keahlian kepada wakil UMNO Kubang Pasu, Datuk Shamsuddin Ahmad yang juga Setiausaha Bahagian.

Manaff memberi alasan mereka insaf dan menyesal atas tindakan menyokong PPBM sebelum ini dan menyifatkkan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah melampaui batas.

“Kami kecewa dengan perjuangan Tun Dr Mahathir yang dilihat telah melampaui batas, bersifat peribadi dan dendam yang boleh menghancurkan perpaduan orang Melayu umumnya dan umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada BN di Kubang Pasu dan menyertai ceramah jentera parti bagi memberi kemenangan kepada parti kerajaan itu.

“Kami berikrar menyokong penuh serta bekerja untuk kemenangan calon-calon BN yang bertanding di Kubang Pasu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast