Calon Barisan Nasional Parlimen Petaling Jaya, Chew Hian Tat berucap pada Karnival Rakyat Sejahtera & Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 MEI 2018.
Calon Barisan Nasional Parlimen Petaling Jaya, Chew Hian Tat berucap pada Karnival Rakyat Sejahtera & Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 06 MEI 2018.

SUBANG – Calon MCA yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Petaling Jaya, Chew Hian Tat akan melantik Pegawai-pegawai Khas dalam kalangan Melayu dan India jika diberikan peluang menjadi wakil rakyat di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, pelantikan pegawai-pegawai khas itu bertujuan untuk memastikan masalah penduduk setempat yang berbilang kaum di kawasan tersebut akan dapat diselesaikan dengan mudah dan pantas.

“Saya janji kalau dapat disokong oleh pengundi di sini, saya akan berikan perkhidmatan yang terbaik dan infra (meningkatkan infrastruktur) kepada rakyat di PJ.

“Saya juga janji akan lantik Pegawai Khas Melayu untuk menangani isu-isu Melayu dan juga akan melantik Pegawai-pegawai Khas India untuk menangani isu-isu kaum itu, itulah agenda 1Malaysia yang kita nak laksanakan,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Transformasi Sosial (PTS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang I sebentar tadi.

Sehubungan itu, demi memastikan pelaksanaan tugas yang tidak bersifat perkauman itu Hian Tat memohon agar pengundi memberikan peluang kepadanya pada 9 Mei ini.

“Kita perlukan sokongan dari semua. Saya harap dapat sokongan daripada semua pengundi dan juga rakan BN untuk menawan balik Selangor dan tawan balik kerusi Petaling Jaya ini,” ujarnya yang menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR dan Pas.

Hian Tat berdepan dengan pesaingnya dari PKR Maria Chin Abdullah dan Noraini Hussin dari Pas.

Untuk rekod, kerusi Parlimen itu sudah dua penggal dimiliki PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast