KUALA LUMPUR – Status di laman sosial Twitter milik aktres Nelydia Senrose mendapat perhatian netizen apabila ia berkaitan dengan berita penahanan kakaknya Uqasha, pada Ahad lalu.
Nelydia atau Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 24, kini menjadi mangsa serangan netizen di laman sosial itu selepas kakaknya itu membuat keputusan menutup ruangan komen di Instagram.
Lantas, status itu seolah-olah menggambarkan dia berhadapan dengan beban yang bukan dilakukannya.
“I wonder how much of what weighs me down is not mine to carry (Saya tertanya-tanya berapa banyak beban yang sebenarnya bukan milik saya tetapi perlu saya tanggung),” tulis Nelydia di Twitter
Rata-rata pengikutnya di laman sosial menyifatkan petikan tersebut ada kena mengena dengan situasi yang berlaku sekarang.
Sebelum ini, dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang pelakon popular ditahan polis selepas ditemui dalam keadaan khayal berserta sejumlah dadah sintetik yang dipercayai jenis Erimin 5 sebanyak 53 biji yang dianggarkan bernilai RM660 dalam tas tangan miliknya pada Ahad.
Uqasha bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, ujian saringan awal air kencing terhadap aktres itu juga didapati negatif.
Tambah Mazlan, kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.
Sumber polis berkata, artis itu yang berasal dari Kelantan dipercayai melanggar kenderaan seorang lelaki Cina di Taman Tun Dr Ismail di sini sebelum lelaki tersebut menghubungi pihak polis kira-kira pukul 11.45 pagi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Bagaimanapun, Uqasha menerusi satu laporan sebuah portal tampil menjelaskan ujian air kencing membuktikan dia tidak berada dalam keadaan khayal seperti dilaporkan.
Malah dia turut memberitahu terdapat unsur sabotaj terhadap dirinya. – MalaysiaGazette