Isteri kepada bekas ADUN DAP, S. Pushpaneela
S. Pushpaneela

KUALA LUMPUR – Walaupun secara lantang, DAP ‘terkinja-kinja’ mengatakan parti itu mempromosi prinsip ketelusan, mengutamakan perjuangan rakyat berbilang bangsa dan pilihan bijak bagi keseluruhan masyarakat Malaysia, namun realitinya adalah sebaliknya.

Ini termasuklah pilihan calon-calon bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kononnya ‘winnable’ dan mengutamakan kepentingkan namun hakikatnya mereka banyak menonjolkan wajah-wajah negatif yang menyemai politik kebencian, ‘kaki mabuk dan judi’ dan banyak lagi.

Antara yang memberi kejutan termasuk pilihan calon ‘kaki ampu’ bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Bagan Dalam, Satees Muniandy yang sebelum ini pernah berhadapan dengan kes memukul serta mengugut bekas teman wanitanya sehingga dibuang kerja.

Maka tidak hairan apabila Ketua Wanita DAP Klang, S. Pushpaneela terkejut dan kecewa dengan pemilihan calon PRU14  kerana parti yang disangka akan melakukan perubahan demi rakyat Malaysia sebenarnya lebih retorik dan tidak ikhlas.

Pushpaneela yang juga merupakan isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan mendakwa, calon pilihan DAP cukup bermasalah antaranya disabitkan dengan kesalahan rasuah, kaki judi, kaki perempuan dan kaki pukul.

“Peliknya tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap mereka, sebaliknya diberikan pula kerusi untuk bertanding dan jawatan lain dalam parti.

“Sebagai contoh, Satees Muniandy ini. Ramai kenal dia, penuh kontroversi. Malah ada laporan polis terhadapnya memukul dan mengugut bekas teman wanita. Ada laporan polis, jadi mengapa kepimpinan tertinggi boleh maafkan isu itu dan berikan kerusi untuknya?

“Bukankah DAP mempromosi kepimpinan untuk wanita? Nasib dan perjuangan wanita akan terbela jika menyokong DAP malah mempunyai pemimpin wanita. Bagaimana pemimpin ini juga mendiamkan diri calon sebegini menjadi calon? Senang-senang Satees ‘buli dan dera’ wanita dan boleh menjadi pemimpin?

“Saya juga mengenali Satees, dia pernah ‘menjadi’ kawan Facebook saya. Setiap status yang dimuat naik oleh saya terutamanya seandainya saya lantang mempersoalkan sesuatu, dengan segera dia akan mengeluarkan komen negatif dengan teruk dan cuba membuli saya.

“Saya mohon kepada pengundi luar sana untuk fikir lebih dari sekali sebelum buang undi kepada calon sebegini. Senangnya jadi calon dengan moral sebegini.

“Saya langsung tidak faham sebenarnya hala tuju parti ini lagi, setiap apa yang lantang diperkatakan di hadapan rakyat dan dilakukan adalah sebaliknya. Semuanya nampak ‘plastik’ dan bohong,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pushpaneela mendakwa, DAP bijak memanipulasi penyokong, ahli dan pemimpin bukan Cina terutamanya Melayu dan India.

Jelasnya, DAP banyak memperalatkan kepercayaan kaum India demi memastikan mereka berkuasa kerana sekiranya hanya undi Cina, mereka tahu mereka tidak mampu untuk menang besar atau kekal berkuasa.

“Keluarga saya sendiri diperalatkan, ketika anak saya masih kecil mereka diperalatkan untuk mendapatkan undi simpati. Kini, walaupun kami setia dan menyokong sepenuhnya parti, kami terabai.

“Mungkin kerana kami melakukan semuanya dengan betul dan lurus bendul, pada kami prinsip yang menjadi amalan kepada parti ini adalah matlamat dan objektif utama. Pegangan asas ini sebenarnya punca mengapa rakyat juga menyokong sepenuh hati.

“Tetapi bak kata perumpamaan, ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Saya tidak fikir lagi melihat senarai calon-calon, tengok di Selangor sahaja, penuh dengan Cina, entahlah,” ujarnya. – MalaysiaGazette