Tan Sri Syed Hamid Albar
Tan Sri Syed Hamid Albar

KUALA LUMPUR – Jika diteliti status twitter bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar, pastinya ramai yang menyimpulkan bahawa beliau kini seakan-akan menyokong Pakatan Harapan (PH) yang dikemudi bekas majikannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Status pada Ahad lalu, yang bertulis “Amat menghairankan dan lucu sekali kenyataan saya ditafsirkan sebagai menyokong Barisan Nasional”, menarik perhatian ramai.

Ia ditulis dua hari selepas pemecatan dua bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin selepas mereka berdua dilihat berkongsi pentas dengan pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

MalasyiaGazette turut mendapatkan reaksi beliau mengenai dakwaan beliau kini seolah-olah menyokong PH.

Jawab beliau: “Perlu ada perubahan untuk kebaikan generasi muda”.

Malah Syed Hamid juga dilihat ‘berkempen’ secara senyap kepada rakyat dengan menyebut perkataan UNDI Satu Harapan.

“Bina satu Malaysia berasaskan Nationalisma Malaysia bersatu padu, cemerlang, berintegriti, bertanggungjawab dan amanah UNDI Satu Harapan,” tulis beliau dua jam lalu di Twitter.

Marilah kita berfikir sebagai satu Malaysia yang mencintai negara kita mempunyai kredibiliti & integriti di peringkat serantau & antarabangsa dan menghormati apa yang kita ada. Mempunyai keberanian & kesediaan untuk berkorban untuk perkara yang betul. Kita mesti relevan dan berubah untuk masa depan yang lebih baik,” tulis beliau sebelum itu.

Antara lain, Syed Hamid berkata; “Sebagai pengundi, kita tidak patut membantu mereka yang sudah sedia kuat”.

Media sebelum ini melaporkan Syed Hamid masih berteka-teki mengenai status sokongan beliau samada menyokong PH atau masih menyokong Barisan Nasional (BN).

Syed Hamid pernah memegang jawatan Menteri Luar dari tahun 1999 sehingga 2008 dan Menteri Dalam Negeri sehingga 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast