KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pulau Pinang dibidas kerana merancang membangunkan projek perumahan untuk pekerja asing di Juru.
Berikutan itu, ssebilangan besar penduduk Taman Tersusun, Juru melancarkan protes bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri itu, lapor akhbar Malaysia Nanban semalam.
Mereka mendakwa sentimen dan pendapat masyarakat setempat sekitar pekan Juru tidak dipeduli oleh oentadbir negeri itu, DAP dan didakwa ditindas.
Selain itu, lebih 200 penduduk Taman Sentul, Taman Pinang dan Taman Tersusun di Juru turut membantah kerajaan DAP yang merancang projek perumahan itu yang terletak bersebelahan dengan taman perumahan mereka.
“Kenapa kerajaan negeri begitu bersungguh-sungguh mengutamakan perumahan untuk pekerja asing sebelah perumahan kami.
“Sebelum ini banjir besar luar biasa yang melanda seluruh negeri ini membawa kerosakan besar rumah dan harta benda kami yang kesannya masih belum hilang dari trauma kami.
“Kini projek perumahan untuk pekerja asing pula mahu dibawa kerajaan DAP. Tindakan itu hanya akan memburukkan lagi penempatan kami yang akan terdedah risiko besar banjir sekali lagi kerana kedudukan geografi perumahan kami di tanah rendah,” kata mereka.
Bagaimanapun berita yang dilaporkan akhbar itu tidak memperincikan lebih mendalam mengenai rancangan perumahan untuk pekerja asing itu.
Mereka berkata, taman perumahan mereka berada 0.3 meter di bawah paras laut.
“Jika projek perumahan pekerja asing itu dibenarkan, kami khuatir dan bimbang perumahan kami sekali lagi akan diancam banjir besar,” menurut seorang penduduk, Sanmuganathan dari Taman Sentul Jaya.
Seorang penduduk, K. Saraswathy pula mendakwa kawasan itu berisiko berhadapan dengan masalah sosial dan jenayah jika pembinaan perumahan pekerja asing dibenarkan.
“Ia juga akan mengakibatkan kesesakan trafik yang teruk pada masa hadapan di kawasan perumahan kami, sekali gus menjejaskan ekosistem dan alam sekitar.
“Oleh kerana sejak dahulu lagi kawasan Juru ini sudah dibanjiri pekerja warga asing yang begitu ramai, kerajaan negeri perlu menghentikan segera rancangan mereka tanpa melengah-lengahkan masa dengan menghormati suara kami sebagai rakyat biasa,” dakwa beliau. – MalaysiaGazette