GOMBAK – Penduduk di kawasan AU3 Taman Keramat sanggup menunggu lebih dua jam di bawah panas sinaran matahari semenjak pagi tadi untuk mengundi.
Pusat-pusat pengundian di kawasan tersebut seperti Dewan Komuniti Rakyat AU3 Keramat masih dipenuhi pengundi sejak pagi tadi lagi.
Berikutan itu kedengaran keluhan kerana petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menyediakan tempat mengundi yang lebih selesa.
Aziz Mohd Daud, 44 berkata, keselesaan pengundi sepatutnya menjadi keutamaan SPR
“Dari segi keselesaan tu perlu diperbaiki kami menunggu sudah dua jam di bawah panas ni. Dengan tengah hari lagi ni mujurlah ada payung ni semua memang bawa payung ni” katanya kepada MalaysiaGazette.
Azizah Jaafar, 57, berpendapat SPR mempertimbang untuk menggunakan lokasi pengundian yang lebih selesa bagi mengelak ketidakpuasan hati dalam kalangan pengundi.
“Saya di sini semenjak 9 pagi tadi sampai sekarang. Belum lagi mengundi kebetulan saluran 2 ramai pula pada pilihan raya kali ini.
“Lain kali kalau boleh biarkan SPR sediakanlah bumbung biar kita selesai sediakan air,” ujarnya.
Namun Azizah tetap sabar menunggu sehingga giliranya tiba bagi menanaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette