PRU14
Beberapa pemimpin BN dan PH menerima panggilan spam secara bertubi-tubi pagi tadi

KUALA LUMPUR – Selain ahli-ahli politik pembangkang, beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) juga menjadi mangsa serangan siber apabila turut menerima panggilan misteri tanpa henti dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Malah banyak laman-laman web BN tidak dapat diakses.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, telefonnya diserang spam pagi tadi dan tidak boleh berfungsi seperti biasa.

“Telefon saya seperti diserang spam pagi tadi. Aneh,” kata calon Parlimen Rembau itu di Twitternya.

Selain Khairy, beberapa pemimpin lain seperti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan penyandang kerusi Simpang Renggam, Liang Teck Meng turut mengalami masalah yang sama.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk sekeras-kerasnya taktik tersebut dan mengarahkan tindakan segera diambil.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik “panggilan spam” yang diterima ramai pemimpin Barisan Nasional dari nombor antarabangsa.

“Telefon yang diserangi spam itu tidak dapat berfungsi seperti biasa. Selain itu, banyak laman web BN pun tidak boleh diakses.

“Saya telah mengarahkan supaya tindakan segera diambil,” katanya di akaun Twitternya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua mengalami masalah yang sama apabila telefonnya menerima panggilan bertubi-tubi daripada Amerika Syarikat.

Beliau dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Lim Kit Siang menuduh BN melakukan perkara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast