KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa pembangkang sudah menang sebanyak 112 kerusi Parlimen dan boleh menubuhkan kerajaan.
Namun kini terpaksa berdepan dengan unsur sabotaj dari kerajaan Barisan Nasional (BN) dakwanya.
Sambil tidak mendedahkan sumber dalaman beliau, Mahathir mendakwa pihaknya juga sudah menang di enam buah negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.
Bagaimanapun, jelas Mahathir, pihaknya diberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sengaja menagguhkan keputusan kerana ada arahan daripada pihak tertentu.
Malah beliau juga bertindak menakutkan rakyat dengan mendakwa Datuk Seri Najib Razak sedang mengendalikan beberapa mesyuarat dengan beberapa induvidu tertentu dan berkemungkinan besar akan menggangu ketenteramaan serta keamanan negara.
“Kita sudah menang enam negeri setakat ini malah saya diberitahu oleh Datuk Seri Shafie Apdal bahawa parti Warisan di Sabah juga telah menang besar. Hakikatnya, kerajaan PH sudah boleh menubuhkan kerajaan.
“Kedudukan BN sudah jauh ketinggalan ketika ini dan SPR sengaja melambatkan keputusan walaupun hampir semua tempat sudah habis proses pengiraan undi.
“Saya risau kita akan berdepan dengan perkara-perkara lain yang boleh ganggu gugat kedaulatan kita ketika ini. Kita sudah menang seperti kehendak rakyat namun SPR masih berdegil untuk membuat pengumuman?
“Apakah sebenarnya agenda mereka. Kita mahu tahu apa yang sedang berlaku ketika ini. SPR enggan tandatangan keputusan. Kita tidak akan sesekali bertolak ansur dalam perkara seperti ini,” katanya dalam sidang media di sini malam tadi.