Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli PAS dan para penyokong diminta bertenang dan tidak melatah bila disakat oleh musuh terutama berkait dengan perkembangan mutakhir situasi di Perak dan Kedah.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, meskipun pilihan raya telah berakhir fitnah dan provokasi terhadap parti itu tidak pernah berakhir.

Katanya, Prinsip Amal Islami yang dipegang oleh PAS dalam proses membuat keputusan adalah secara syura dan kemudiannya dimuktamadkan oleh Presiden sebagai Amir jamaah.

PAS mengurus pertimbangan dalam menilai situasi dan menangani isu semasa berteraskan amalan politik realiti yang menjulang kebenaran Islam, bukan lagi politik persepsi dan emosi.


Paksi tindakan PAS ialah meletakkan Islam mengatasi segala-galanya. Budaya Politik matang dan sejahtera yang digagaskan oleh PAS menegaskan bahawa amalan politik PAS ialah politik berteraskan prinsip, bukan lagi politik lalang yang rebah ke kiri bila ditiup ke kiri dan liuk ke kanan bila dihembus ke kanan,” katanya.

Tegasnya, Islam menjadi keutamaan Pas dalam apa jua pertimbangan dan keputusan, selari dengan perjuangan parti itu selama ini.

“Tenang dan bersabar, usah sahut propaganda pihak tertentu yang terus mensasarkan PAS supaya kita bercakar dan bercakap tanpa asas dan mengetahui betul duduk isu yang sebenar,” pesan Nasarudin.

Ujarnya, PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas pada petang ini bagi membincangkan situasi tersebut dan segala pandangan, pertimbangan serta kemungkinan akan dinilai oleh pimpinan parti dengan teliti dan cermat sebelum membuat keputusan.

“Insyaallah, Presiden PAS atau timbalannya akan membuat kenyataan rasmi parti setelah bermesyuarat dengan seluruh saf kepimpinan PAS kelak,” katanya. – MalaysiaGazette