Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berucap pada sidang media Pengumuman Menteri Kabinet Malaysia yang baru di Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 12 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengesahkan beliau telah mengeluarkan perintah larangan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke luar negara ketika ini.

Menurut Tun Mahathir, beliau terpaksa mengeluarkan arahan tersebut memandangkan pelbagai laporan salah laku dan penyewelengan yang terpalit terhadap mereka dan harus disiasat dengan segera.

“Benar, saya telah mengeluarkan arahan tersebut kerana ada banyak aduan terhadap Najib dan semua itu harus disiasat dengan kadar segera. Saya yang halang perjalanan mereka ke luar negara.

“Seandainya aduan serta dakwaan itu benar, kerajaan perlu segera bertindak, kita tidak mahu sesekali terganggu dengan proses ekstradisi luar negara nanti,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan wartawan seandainya kerajaan Malaysia bertindak menyenarai hitam kedua-dua nama itu daripada keluar negara ketika ini.

Najib dan Rosmah dijadual untuk berangkat ke Indonesia untuk bercuti selama beberapa hari bermula hari ini.

Dalam kenyataannya, Najib berkata, beliau perlu berehat seketika dan memikirkan langkah yang perlu diambil ekoran kekalahan BN dalam PRU ke-14 pada Rabu lalu.

Tun Mahathir berkata, perintah larangan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen itu dibuat kerana pihak berkuasa negara ini sedang menjalankan siasatan pada waktu ini.

Dalam pada itu, Tun Mahathir juga telah mengarahkan polis untuk tidak lagi meletakkan laporan audit 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Pihak yang berkenaan sedang menjalankan siasatan rapi dan akan menghantar laporan penuh untuk saya teliti dalam masa terdekat ini,” tegasnya.

Laporan audit 1MDB itu dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) di Parlimen pada April 2016 bagaimanapun Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengklasifikasikan laporan itu di bawah OSA malah tidak pernah di bahaskan dalam Parlimen. – MalaysiaGazette