Dr Kamarul Zaman meletakkan jawatan sebagai Pengarah Mapan UUM berkuatkuasa hari ini.
Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Dr. Kamarul Zaman Yusuff yang meletakkan jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam, mengakui beliau dan ahli keluarga dihujani pelbagai pertanyaan mengenai keadaannya selepas Pakatan Harapan (PH) memang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu.

Namanya dikatakan termasuk dalam senarai mereka yang bakal dikenakan tindakan kerana terlalu bersikap kritikal terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PH sebelum ini.

Bahkan, kedudukannya dalam Mapan juga turut dipersoalkan secara lantang oleh sebahagian besar warga UUM berikutan sikap kritikalnya itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam membuat komen, malah tidak bimbang pun dengan sebarang tindakan yang mungkin akan dikenakan ke atas saya oleh mana-mana pihak kerana rezeki adalah milik Allah.

“Malah, untuk memudahkan urusan semua pihak, saya dengan sukarela mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengarah Mapan UUM berkuatkuasa pada hari pertama pejabat dibuka selepas PRU 14, iaitu hari ini,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi akaun facebooknya, hari ini.

Dr. Kamarul Zaman terkenal sebelum ini mengkritik keras pembangkang dan Tun Dr Mahathir ketika era UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berkuasa.

Lebih terkenal apabila beliau menjadi ahli panel anjuran sebuah akhbar bertajuk “Apakah Tun M terlalu tua untuk jadi PM?” pada 22 Mac lalu, di mana Tun Dr Mahathir hadir ketika beliau sedang berforum dengan bertanya soalan secara terus sehingga dikatakan beliau “terkucil”.

Beliau yang memohon maaf secara terbuka kepada semua warga UUM yang tidak selesa kerana beranggapan nama universiti itu terjejas, turut diperli oleh banyak pihak kononnya membuat pusingan U selepas mengeluarkan kenyataan bertajuk, “PRU14 cermin kebencian rakyat terhadap Najib” pada pada 10 Mei lalu.

Mengenai dakwaan beliau tidak pernah melakukan sebarang kaji selidik ke atas isu politik negara, Dr Kamarul Zaman memberitahu, dia pernah menjadi ketua penyelidik kepada satu kaji selidik yang melibatkan responden dari seluruh negara bertajuk “Kajian Opinion Poll: Persepsi Masyarakat Terhadap Isu-Isu Semasa Nasional Dan Tempatan Di Malaysia”.

“Bagaimanapun, kaji selidik ini tidak dapat dikongsikan dengan masyarakat umum, manakala dapatannya pula tidak diambil perhatian oleh pihak berkenaan.

“Selepas itu, saya tidak lagi membuat sebarang kaji selidik,” katanya.

Berikut adalah petikan laporan kaji selidik yang beliau selaku ketua penyelidik sediakan;

  • Dapatan terpenting kajian ialah hanya 23.1 peratus responden yang puas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu 1MDB; 70.5 peratus responden percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam isu 1MDB; 68.3 peratus responden bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz dalam isu 1MDB; serta hanya 26 peratus responden yang puas hati dengan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

  • Hanya 23.1 peratus responden yang puas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu 1MDB mempunyai korelasi yang rapat dengan tahap kepopularan Najib sebagai Perdana Menteri yang tersangat rendah, iaitu 26 peratus sahaja.

  • Rumusan terpenting daripada kajian ini menunjukkan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan kedudukan BN sebagai kerajaan persekutuan sememangnya berada diambang bahaya jika langkah yang drastik bagi mengatasi isu 1MDB ini tidak segera dilaksanakan.

  • Dapatan kajian bahawa 70.5 peratus responden percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz dalam isu 1MDB serta 68.3 peratus responden bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh ketiga-tiga pemimpin ini dalam isu 1MDB bakal mendatangkan impak yang besar kepada kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan kedudukan BN sebagai kerajaan persekutuan. Ini kerana ketiga-tiga pemimpin ini sekarang ini sudah tiada lagi dalam UMNO, sebaliknya sudah bergabung tenaga dalam sebuah parti baru PPBM bagi menentang UMNO.

  • Kepercayaan dan persetujuan mereka dengan ketiga-tiga pemimpin ini akan memungkinkan mereka mengundi PPBM dalam PRU14 walaupun zahirnya jasad mereka mungkin masih dalam UMNO.

“Saya juga ingin menafikan dakwaan saya adalah pencacai kepada Najib dan tidak pernah mengkritik beliau dan BN kerana saya kerap kali juga mengkritiknya dan parti itu yang pernah disiarkan beberapa portal berita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast