KUALA LUMPUR – MIC perlu melakukan perubahan segera untuk berdepan cabaran semasa selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 pada 9 Mei lalu.
Sambil menegaskan masih setia bersama BN, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, jika perubahan dilakukan, parti masyarakat India itu masih perlu menilai sama ada mereka mereka masih relevan atau tidak dengan cabaran politik sekarang.
Pada masa sama, beliau berkata, amanat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Ahmad Hamidi akan menjadi pertimbangan untuk perubahan MIC kelak.
“Beliau (Ahmad Zahid) meminta semua parti komponen BN sepakat dan bergerak ke depan dengan membuat perubahan dan melihat kelemahan sedia pada masa depan.
“Beliau juga mahu bersedia dengan situasi sebagai pembangkang dan menjadi pembangkang yang baik kerana sudah lama menjadi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Subramaniam menambah, MIC akan mengukuhkan parti untuk stabil bagi meneruskan perjuangan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Tegas beliau, ahli perlu bersama dgn parti walaupun situasi berbeza tanpa kerajaan dengan buat perubahan dan mengenal pasti kelemahan sedia ada. – MalaysiaGazette