Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – UMNO perlu dipulihkan semula
agar parti itu dapat diterima rakyat pada masa akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, parti Melayu itu harus diperbetulkan bagi meneruskan kelangsungannya dan menjadi parti pembangkang berwibawa.

“Dalam proses pemulihan ini, tidak semestinya kepemimpinannya ditukar dan diterajui orang muda atau mereka yang lebih tinggi, tetapi apa yang penting ialah apa yang akar umbi inginkan.

“Saya beritahu Pemuda UMNO jangan terbawa-bawa dengan isu kepemimpinan ini,” katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di PWTC di sini hari ini.

Sehubungan itu Khairy berkata, tidak timbul soal sama ada kepemimpinan parti itu perlu diterajui orang muda atau orang lama.

Malah katanya, kepemimpinan parti menerima tanggungjawab atas kekalahan pada PRU-14 dan tidak hanya meletakkan kesalahan itu kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Kena ada satu tempoh muhasabah diri sebelum kita membuat perubahan kepada UMNO. Jika kita anggap ini kekalahan kerana seorang saja, kita tidak akan dapat belajar sesuatu,” katanya.

Tambah beliau, walaupun pengundi menolak Barisan Nasional (BN) tetapi masih ada yang berharap BN boleh memainkan peranan sebagai pembangkang.

Katanya, mesej itu jelas kerana sentiasa menilai kerajaan.

“Jadi, perlu ada pembangkang untuk membetulkan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy ketika mengulas mengenai program dilaksanakan BN seperti Program Transformasi Nasional, katanya, ia terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu meneruskan dasar BN dan semua program itu perlu dinilai dari perspektif profesional bukan perkiraan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast