KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada rancangan mengadakan pilihan raya kecil bagi memberi laluan kepada Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kerajaan.
“Bukan itu perancangan kami,” jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita adakah PH berhasrat memberi laluan kepada suaminya untuk menyertai pimpinan kerajaan setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Dr Wan Azizah, yang telah dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar sebaliknya akan bersama menyumbang peranan dalam pembentukan kerajaan mengambil kira pengalamannya dalam pimpinan kerajaan sebelum ini.
“Seperti yang telah saya katakan, kita perlu memberi peluang kepada PM dan pembentukan kabinet supaya pentadbiran kerajaan berjalan lancar. Anwar menyumbang sebahagian daripadanya tetapi bukan seluruhnya sebagai kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri anjuran PKR Parlimen Pandan di sini malam ini. – Bernama