Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai tangan kepada para media dan penyokongnya semasa keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad IV. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2018.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai tangan kepada para media dan penyokongnya semasa keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad IV. foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Setelah menjalani hukuman penjara hampir tiga tahun atas tuduhan liwat, akhirnya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan sepenuhnya oleh kerajaan selepas mendapat perkenan pengampunan DiRaja hari ini.

Beliau yang dibebaskan pada jam 11.27 pagi tadi kelihatan ceria dan sihat ketika berjalan keluar menuju ke perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras sebentar tadi.

Walaupun pada awalnya Anwar dijadualkan mengadakan sidang media namun keadaan ‘huru hara’ berikutan terlalu ramai kehadiran penyokong dan pengamal media, beliau bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah sekadar melambai dan tersenyum sebelum menaiki kenderaan menuju ke Istana Negara selepas di perkenankan pertemuan dengan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V jam 12.30 tengahari ini.

Lembaga Pengampunan yang sepatutnya bersidang semalam juga dikatakan sudah memulakan proses pengampunan sejak jam 11 tengahari tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Penjara menyatakan sekiranya permohonan pengampunan diluluskan hari ini, pihak penjara akan melaksanakan prosedur pembebasan di Wad 2C, Hospital Rehabilitasi Cheras.

Menurut peguam keluarga Anwar, R. Sivarasa, pengampunan diraja yang bakal diperkenankan Agong akan memberikan kembali peluang kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali aktif dalam politik.

“Pengampunan Diraja ini sebenarnya peluang untuk Anwar kembali aktif dalam politik malah segala tuduhan ke atasnya akan ‘terpadam’ seolah-olah ianya tidak pernah wujud.

“Hari ini adalah hari yang paling istimewa buat kami, beliau kini bukan sahaja bebas dan berjaya membersihkan namanya malah akan kembali aktif dalam dunia politik seperti dulu,” katanya.

Kemenangan besar luar jangkaan Pakatan Harapan membolehkan Anwar dibebaskan pada hari ini selepas kerajaan pakatan itu memulakan prosuder mendapatkan pengampunan untuk beliau sejak Khamis lalu.

Anwar yang sudah menjalani huluman penjara hampir 11 tahun kerana tuduhan meliwat kini dijangka mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast