LONDON – Arsenal mula bernafsu apabila mahu membelanjakan 75 juta pound sterling untuk membawa masuk tiga pemain baharu pada musim depan.
The Sun melaporkan, pembelian itu bakal diselesaikan sebelum Mikel Arteta dilantik sebagai pengurus baharu secara rasmi kelab itu.
Arteta, 36, yang menjadi calon pilihan utama untuk menggantikan Arsenal Wenger akan mengadakan rundingan bagi memuktamadkan tawarannya bersama lembaga pengarah Arsenal minggu ini.
Namun Ketua Rekrut Arsenal, Sven Mislintat telah mendesak melakukan rundingan segera dengan pemain baru dengan mensasarkan tiga perpindahan dimuktamadkan pada 1 Jun ini.
Arsenal kini memburu khidmat pemain Borussia Dortmund, Sokratis Papastathopoulos dengan perpindahan bernilai 15 juta pound sterling.
Arsenal juga sedang berbincang dengan pemain pertahanan Freiburg, Caglar Soyuncu yang dianggarkan bernilai 35 juta pound sterling.
Mislintat turut berusaha mencari pengganti Petr Cech dan mengenal pasti Bernd Leno dari Bayer Leverkusen.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu mahu berhijrah ke Arsenal dengan bidaan sekitar 25 juta pound sterling. – MalaysiaGazette