Status yang dimuat naik di laman Instagram milik Chef Wan.

KUALA LUMPUR – Chef selebriti terkenal, Chef Wan membidas pihak-pihak tertentu yang mengkritik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tindakan menggeledah kediaman peribadi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu status yang dimuatnaik oleh Chef Wan di laman Instagramnya, beliau mempertikai pihak terbabit termasuk netizen pro Najib yang dilihat membela bekas presiden UMNO dan bekas pengerusi BN itu secara membuta tuli.

“Sibuk penyokong-penyokong penyangak ini living in denial konon tak baik buat macam ni masa bulan ramadan dan janganlah aibkan mereka etc.

“Eh nak tangkap perompak mesti ada bulan tertentu ke dan menguna diplomasi dan sebagainya?

“Mereka ini tak faham ke yg segala yang kita perjuangkan ini untuk siapa? Jika tidak kerana masa depan generasi kita di masa akan datang?,” soalnya.

Chef Wan berkata, mereka yang berkenaan tidak perlu untuk mengajar pihak berkuasa serta pejuang keadilan kerana mereka tahu akan tanggungjawab masing-masing.

“Bangkai gajah itu boleh ke di tutup lagi dik nyiru tu?

“Jika kita ni bodoh sekali pun jangan lah sombong dan bongkak masih mahu menegakkan benang yang basah lagi?,” ujarnya.

Bagaimanapun, Chef Wan menyedari statusnya itu bakal menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu namun, apa yang lebih penting adalah langkah untuk menyelamatkan Malaysia daripada korupsi. – MalaysiaGazette