LONDON – Manchester United sekurang-kurangnya boleh bermegah dengan kutipan hadiah kemenangan dan juga hak penyiaran yang lebih tinggi berbanding lawan mereka yang berpengkalan di Etihad.
Manchester United yang sekadar mengakhiri saingan musim ini di tangga kedua liga menerima jumlah keseluruhan hadiah kemenangan dan juga hak penyiaran berjumlah £149.77 juta.
Jumlah tersebut melebihi yang diperolehi oleh Manchester City sebanyak £328,491 selepas jiran itu hanya menerima £149.44 juta pada musim ini.
United dibayar tinggi kerana mempunyai dua perlawanan lebih banyak disiarkan secara langsung di United Kingdom yang bermakna mereka dibayar lebihan sebanyak £2.26 juta untuk dua perlawanan tersebut.
Secara keseluruhan kelab-kelab di EPL menerima bayaran bernilai £2.42 billion pada musim ini. Ia adalah tambahan nilai sebanyak £2.1 juta berbanding perolehan pada musim sebelumnya.
Skuad Jose Mourinho memperolehi liputan siaran secara langsung dalam 28 perlawanan sepanjang musim ini. Ia adalah jumlah perlawanan yang sama berbanding yang diperolehi oleh Liverpool dan Arsenal. – MalaysiaGazette