KUALA LUMPUR – Bagaikan pesta, rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus menjadi tumpuan orang ramai termasuk wakil media sejak kebelakangan ini.
Beratus-ratus orang yang sanggup berhujan panas hanya semata-mata mahu melihat dengan jarak dekat apakah sedang berlaku di kediaman Najib.
Lebih-lebih lagi apabila pihak berkuasa keluar masuk di kawasan berkenaan.
Malah ada juga pelancong yang juga kelihatan teruja melihat apa yang berlaku.
Rata-rata penduduk yang hadir bukan sahaja sekitar Taman Duta malah ada dari Ampang, Cheras, Balakong dan Putrajaya semata-mata mahu melihat dengan lebih dekat apakah yang sedang berlaku dengan bekas Perdana Menteri yang ke-6 itu.
Tidak kurang dengan yang begitu teruja dan ingin tahu apakah nasib isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
Mereka kini sedang berdepan dengan tuduhan penyelewengan skandal 1MDB yang di buka kembali di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan selepas menang besar PRU-14.
Rakyat Malaysia bukan sahaja terkejut malah juga teruja serta tidak kurang yang melahirkan rasa sedih simpati dengan insiden yang berlaku terhadap Najib.
Pelbagai cerita tersiar terutamanya tentang kononnya ada penyewelengan wang dan juga kehidupan mewah Najib dan Rosmah terutama di media-media sosial.
Terdahulu, polis Bukit Aman juga turut menjalankan pemeriksaan bagi pencarian beberapa bukti penting di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.
Penggeledahan dan pemeriksaan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram.
Terdahulu, pukul 4 petang semalam seramai lapan anggota SPRM tiba di kediaman Najib.
Ada antara mereka dilihat memakai jaket berwarna hitam sambil membawa beg bimbit hitam tidak dapat dipastikan apakah isu kandungannya.
Mereka beredar dari kediaman Ahli Parlimen pembangkang dari Pekan itu kira-kira dua jam kemudian.
Semalam polis merampas wang tunai, barangan kemas dan beg tangan berjenama mewah dari sebuah kondominium dikaitkan dengan Najib.- MalaysiaGazette