Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo (kanan) meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2018.
Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo (kanan) meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri hari ini mengadakan pertemuan dengan beberapa individu Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini dan antaranya ialah bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo.

Justo, yang berpakaian sut, mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Moahamad kira satu jam 15 minit.

Kereta Mercedes-Benz berwarna perak yang dinaiki Justo kelihatan beredar keluar dari bangunan YKP pada pukul 2 petang.

Menerusi laman Facebook rasminya, Justo semalam memuat naik gambarnya bersama-sama Mahathir dengan kapsyen: “What a great privilege and what an incredible moment” (Sesungguhnya ini suatu peluang yang amat istimewa dan momen yang amat luar biasa).

Semalam, Justo, 49, telah mengadakan pertemuan dengan  Mahathir lebih sejam di kediaman peribadi PM di Seri Kembangan dekat sini.

Kamala Shirin Lakhdhir

Selain Justo, Mahathir turut mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

Kamala tiba di YKP pada pukul 2.30 petang dengan kenderaan rasmi kedutaan itu.

Sebelum itu, Duta Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana turut mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di YKP.

Pada sebelah pagi tadi selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra bagi memulakan tugas selepas dilantik menjadi Perdana Menteri,  Mahatahir yang tiba di YKP kira-kira pukul 9.15 pagi mengadakan pertemuan pula dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Malah, bakal Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut mengadakan pertemuan dengan Mahathir selama 45 minit bermula pada pukul 12.45 tengahari tadi.

Sejak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei lepas, Mahathir, 92, menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin negara luar.

Baru-baru ini Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga melawat beliau.

Mahathir dijangka menghadiri majlis angkat sumpah ahli Kabinet baharu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada pukul 5.30 petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast