PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baru dilantik, Datuk Seri Shukri Abdull mendedahkan ada cubaan untuk merasuah beliau oleh seorang Ahli Parlimen dari utara.
Shukri berkata, beliau menerima panggilan daripada Ahli Parlimen berkenaan yang bersedia untuk menunaikan segala permintaannya asalkan kes 1MDB dianggap ‘selesai’.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nama ahli Parlimen berkenaan kepada media.
“Ahli Parlimen itu tanya you (saya) nak apa? Saya cakap jangan masuk campur siasatan saya.
“Saya cakap saya tidak mahu apa-apa, saya hanya menjalankan tanggungjawab dan saya tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.
Shukri berkata, beliau pernah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin UMNO ketika itu bagi menceritakan situasi sebenar mengenai 1MDB malah turut menggesa kepimpinan tertinggi parti itu ditukar.
“Kes RM2.6 bilion adalah kes benar. Saya kata buang pelaku rasuah, buang Najib, ganti orang lain untuk jadi Perdana Menteri.
“Tetapi hanya tiga orang sahaja berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah,” katanya kepada media.
Mohd Shukri yang dilihat sebak turut menceritakan kebimbangan yang dialami apabila dua pegawainya ditukarkan ke jabatan lain ketika beliau berada di luar negara.
“(Pemimpin) yang lain semua tak nak dengar. Saya dah kata saya tidak ada sebarang kepentingan.
“1MDB bukan cerita rekaan, ini kes terlalu besar yang tidak boleh dilindungi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette