Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 MEI 2018
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 MEI 2018

PUTRAJAYA – Mesyuarat kali pertama Kabinet Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk memotong 10 peratus gaji semua menteri.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan itu adalah tanda prihatin kerajaan terhadap masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan buat masa kini.

“Jemaah Menteri di mesyuarat pertama Kabinet telah bersetuju supaya gaji mereka dipotong sebanyak 10 peratus sebagai tanda perhatian terhadap masalah kewangan negara.

“Gaji menteri adalah lebih rendah daripada gaji pegawai tinggi kerajaan, kita tidak bercadang untuk menaikkan gaji tetapi kurangkan 10 dari asas gaji yang ada, “katanya ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Hadir sama adalah semua jemaah Kabinet antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, Menteri Tenaga Manusia, Kulasegaran V.Murugeson dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata senarai penuh Kabinet akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“(Senarai Kabinet akan dimuktamadkan) secepat mungkin. Kita ada 12 kementerian lagi dan mungkin ada tambahan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette