Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman bercakap selepas pada Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di perkarangan Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Shukri Abdull yang dipanggil kembali memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan tidak banyak bercakap sebaliknya memulakan tugasnya dengan segera.

Jelas bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, pendedahan Shukri semalam mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berisiko mengganggu siasatan yang sedang dijalankan kerana kenyataan-kenyataan bersifat prejudis yang dikeluarkannya.

“Pendapat peribadi saya ialah lebih baik tiada kenyataan umum kerana ia boleh memprejudiskan siasatan dan jejaskan prosiding mahkamah.

“Saya tak tahu, saya tak mahu komen tapi jika tanya saya lebih baik lebihkan kerja dan kurangkan bercakap,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Menara Ilham sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Shukri semalam ketika sidang media khasnya seepas kembali memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Selain itu tambahnya, Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang ditubuhkan Isnin lalu akan memberikan laporan kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuainya sejak seminggu lalu.

Justeru itu beliau menegaskan tidak akan ada pertindihan tugas yang akan berlaku di antara kedua-dua pihak itu.

“Tidak akan pertindihan kuasa sebab kami mengkordinasi mereka report kepada saya,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast