LONDON – Anak perempuan bekas pengintip bekas Rusia yang diserang dengan agen saraf di Salisbury bersyukur kerana masih hidup selepas serangan itu.
Yulia Skripal dan bapanya, Sergei, diserang dengan agen saraf Novichok di bandar itu pada 4 Mac lalu.
Beliau yang muncul buat kali pertama dalam rakaman video selepas diserang berkata, kehidupannya tunggang-langgang selepas kejadian itu namun berharap dapat kembali ke Rusia pada masa depan.
Bapanya, Sergei Skripal telah keluar hospital pada awal bulan ini.
Yulis dirawat selama enam minggu di Hospital Daerah Salisbury dan dibenarkan keluar hospital selepas keadaannya semakin baik tetapi masih dalam rawatan.
“Selepas 20 hari koma, saya bangun dengan dimaklumkan kami mungkin telah diracun. Saya masih sukar untuk menerima hakikat diserang dengan sedemikian rupa,” katanya dalam rakaman video itu.
Yulia berterima kasih dengan tawaran bantuan oleh kedutaan Rusia tetapi beliau dan bapanya masih belum bersedia untuk menerimanya.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital yang merawatnya dengan baik..
“Kami sangat bernasib baik kerana kedua-duanya terselamat daripada cubaan pembunuhan ini.
“Saya tidak mahu menerangkan butiran, tetapi rawatan klinikal adalah menyakitkan dan memberi tekanan,” tambah Yulis. – MalaysiaGazette