KUALA LUMPUR – Dunia bola sepak terutamanya dalam Liga Perdana Inggeris memiliki beberapa nama besar yang beragama Islam.
Antaranya seperti Mohamed Salah, Mesut Ozil dan juga Emre Can selain bintang Manchester United iaitu Paul Pogba yang merupakan pemain antarabangsa Perancis.
Walaupun popular dengan dengan gerak gaya dan pelbagai jenis potongan rambut, satu sisi istimewa yang ada dalam diri Pogba adalah dia sering ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah.
Ketika ini, Pogba dikatakan berada di Mekah untuk menyambut bulan Ramadan menerusi perkongsian video yang dimuat naik pemain itu di Instagramnya.
Lebih menarik, Pogba turut menghabiskan cuti musim panas dan bulan Ramadan di Mekah.
Menerusi laman Instagramnya itu , Pogba memuat naik rakaman yang menunjukkan dirinya berada di dalam Masjidilharam.
Pogba turut menggambarkan Mekah sebagai salah sebuah tempat yang amat menenangkan bagi dirinya.
Malah menurutnya, hanya mereka yang mengerti sahaja akan memahami apa yang beliau sampaikan ini.
“Hanya mereka yang pernah sampai ke sini (Mekah) sahaja akan mengerti perasaan ini, bukan mudah untuk saya gambarkan perasaan saya ketika ini.”
“Jika ada yang belum berkesempatan untuk pergi ke Mekah, silalah datang untuk menikmati perasaan yang amat menenangkan ini,” katanya. – MalaysiaGazette