Jack Ma
Arkib: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma (kanan) pada pelancaran Fasa 1 Digital Free Trade Zone (DFTZ) di Litar Antarabangsa Sepang, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR- Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma dijadual bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Memetik beberapa sumber, akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan, bilionair ternama dunia itu dijangka mengadakan perbincangan mengenai projek Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dengan Dr. Mahathir.

Menurut sumber berkenaan, beberapa kumpulan telah meminta Ma untuk mengadakan pertemuan di Malaysia.

DFTZ yang dilancarkan pada 22 Mac tahun lepas disasarkan untuk menjadi hab baharu ekonomi digital supaya lebih ramai rakyat Malaysia di bandar dan luar bandar memperoleh manfaat.

DFTZ diharapkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyediakan kemudahan e-dagang merentas sempadan untuk PKS, yang sebelum ini sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ia antara lain menyediakan kawasan di Kuala Lumpur International Airport Aeropolis sebagai kemudahan logistik dan penyimpanan serta prosedur pembiayaan dan pelepasan kastam yang lebih pantas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast