Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan basah dan mentah untuk dijadikan juadah berbuka puasa di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan basah dan mentah untuk dijadikan juadah berbuka puasa di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Ketika harga barang dijangka naik menjelang Aidilfitri ini, pengguna dan peniaga berharap kerajaan dapat mengawal pembekal bagi mengelakkan kenaikan harga melampau.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati rata-rata mereka berpendapat harga barang yang mulai turun sejak tiga minggu lalu dijangka naik tetapi bukan disebabkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) sebaliknya permintaan yang tinggi.

Peniaga, Rozita Zabar, 43, berkata, bekalan barangan yang berkurangan tidak dapat menampung permintaan tinggi pengguna menjelang musim perayaan menyebabkan berlaku kenaikan harga daripada pembekal.

Peniaga, Rozita Zabar menyusun pelbagai jenis bawang yang dijualnya di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

“Apabila barang sampai dengan harga tinggi, kami peniaga juga tidak dapat menjualnya dengan harga lebih murah,” katanya yang turut berharap kerajaan memantau pembabitan warga asing yang berleluasa sebagai peniaga sehingga mewujudkan persaingan kepada mereka.

Peniaga ayam, Mohd. Zamhor Mohd.  Ghaus, 48, berkata, arahan kawalan harga yang bakal dikeluarkan kerajaan menjelang musim perayaan selalunya akan menyebabkan penurunan harga barang.

Peniaga, Mohd Zamhor Mohd Ghaus memotong ayam jualannya di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

Kini, katanya harga ayam dijual sebanyak RM8.50 sekilogram dan dijangka turun kepada RM7.50 sekilogram seminggu sebelum Aidilfitri.

“Harga ayam ada kenaikan dalam RM1.20 sejak kira-kira tiga minggu lalu tetapi selalunya harga ini turun apabila kerajaan mengumumkan mengenai kawalan harga,” katanya.

Peniaga daging, Zuhairi Zainuddin, 46, pula berkata, harga tidak menentu daripada pembekal menyebabkan berlaku kenaikan harga dan sehingga kini daging pejal dijual pada harga RM38 sekilogram manakala RM40 sekilogram bagi batang pinang.

Peniaga, Zuhairi Zainuddin memotong daging yang dijualnya di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

“Harga daripada pembekal tidak menentu, itu yang berlaku kenaikan harga dan selalunya apabila harga barang sudah naik, sukar tidak berlaku penurunan,” katanya.

Selain itu, katanya, saingan daripada peniaga warga asing yang menjual barang seperti daging tidak berkualiti turut menyukarkan peniaga tempatan yang lebih mengutamakan kualiti, menjual barang lebih murah.

Pekerja swasta, Dzulsyafiq Walid, 33, yakin harga barang akan terkawal sekiranya kerajaan dapat mengawal pembekal.

Dzulsyafiq Walid, 33, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

“Menjelang musim perayaan seperti sekarang akan berlaku pertambahan permintaan barangan dan bekalan kerana itu boleh berlaku kenaikan harga barang terutama jika ada tekanan daripada pembekal,” katanya.

Suri rumah, L. Vijaya, 37, berkata, selalunya harga barang tidak berlaku penurunan tetapi kenaikan yang melampau akan membebankan pengguna.

Temubual bersama pembeli, L. Vijaya, 37, mengenai harga barang basah dan mentah di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2018.

“Kami berharap ada pemantauan harga supaya tidak terlalu tinggi. Penurunan dan kawalan juga tidak seharusnya bermusim supaya pengguna dapat berbelanja selesa sepanjang masa tanpa perlu bersesak-sesak pada waktu jualan murah,” katanya yang memberi penekanan kepada kawalan harga bagi barangan keperluan asas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast