Abdul Hakim Othman.

KUALA LUMPUR – Kemelut politik di Perlis berpunca akibat sikap pemimpin UMNO yang tamak haloba sejak merdeka, kata jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman.

Beliau berkata, kemelut mengenai pelantikan menteri besar dalam UMNO bukanlah suatu yang baru.

Malah kata beliau, kejadian sama pernah berlaku di negeri Terengganu dan lebih tragis lagi apabila terjadi perebutan takhta bagi kerusi itu di Perak sebelum ini.

“Inilah realiti demokrasi dan parti-parti yang memerintah dalam sistem demokrasi. Semuanya berebut untuk memegang jawatan kerana banyaknya habuan dunia yang berjalan seiring dengan jawatan yang dipegang.

“Rakyat terus ditipu dengan demokrasi kerana apabila memegang jawatan, mereka akan hanya berkhidmat kepada parti mereka dan kepada pemilik modal yang memberi kemenangan kepada mereka semasa pilihan raya, bukannya kepada rakyat. Mereka semakin kaya manakala rakyat kekal menderita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Hakim mendakwa, mereka yang terlibat bukan sahaja tidak memikirkan tentang rakyat yang wajib mereka jaga, tetapi turut tidak memikirkan tentang hukum Allah yang wajib diterapkan ke atas diri mereka.

Katanya, mereka terus memerintah dengan hukum demokrasi warisan kafir penjajah tanpa memikirkan nasib masing-masing di padang mahsyar kelak.

“Semoga umat Islam semakin sedar bahawa kemelut pelantikan menteri besar dan juga lain-lain jawatan yang berlaku pada hari ini bukanlah berpunca dari manusia semata-mata, tetapi dari sistem demokrasi itu sendiri yang telah melahirkan manusia yang tamak haloba.

“Demokrasi merupakan sebuah sistem kufur yang datangnya dari Barat dan tidak lebih daripada sebuah penipuan dan hipokrasi yang bukan sahaja menyengsarakan umat Islam di dunia, malah di akhirat juga,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast