KUALA LUMPUR – Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Bukit Mahkota, Bangi, pagi tadi.
Beliau yang juga penceramah program stesen televisyen terbabit dalam kemalangan itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Semasa kejadian, Mohd Izhar dalam perjalanan pulang selepas hadir menjadi panel dalam program bual bicara pagi di sebuah stesen televisyen swasta.
Beliau bagaimanapun hanya mengalami luka ringan manakala kereta yang dinaikinya musnah terbakar.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM), Siti Ramizah Mohd Khalid berkata, sepasukan lima anggota APM dihantar ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan jam 8.35 pagi.
“Setiba di lokasi 10 minit kemudian, kami dapati sebuah kenderaan Mercedes Benz sedang terbakar.
“Mangsa pula didapati sempat keluar daripada kenderaan dan terus diberikan rawatan awal oleh anggota APM yang mengesan beberapa luka ringan dan kesakitan pada belakang badan mangsa,” katanya dipetik dari laman portal Berita Harian Online.
Siti Ramizah berkata, Mohd Izhar dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette