Dr. Wan Azizah bertanya khabar seorang warga emas sempena lawatannya ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu.
Dr. Wan Azizah bertanya khabar seorang warga emas sempena lawatannya ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu.

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 dengan kadar 15 peratus daripada populasi adalah yang berumur 60 tahun dan ke atas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, katanya, kerajaan melalui Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas di bawah tanggungjawab kementerian itu akan memberi tumpuan ke arah menyediakan negara dan bakal warga emas untuk menghadapi masa tua dengan lebih baik.

Antara tumpuan dan inisiatif kementerian yang sedia ada ke arah warga emas sihat dan aktif adalah penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), program Khidmat Bantu di Rumah yang memberikan khidmat sokongan kepada warga emas di rumah oleh sukarelawan kebajikan dan perkhidmatan penempatan warga emas secara sukarela untuk tempoh tertentu di Rumah Seri Kenangan Cheras.

“Kerajaan juga turut memberikan bantuan kewangan untuk meringankan beban dan menampung keperluan asas warga emas seperti Bantuan Orang Tua pada kadar RM350 sebulan serta bantuan kepada penjaga pesakit warga emas yang kronik sebanyak RM300 sebulan.

“Selain dari aspek sosial di bawah kementerian ini, aspek kesihatan umum warga emas pula di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan, yang mana turut mempunyai perkhidmatan, program dan aktiviti berfokus kepada kesihatan warga emas berpandukan kepada Dasar Kesihatan Warga Emas Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sempena lawatannya ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh.

Menurut Dr. Wan Azizah, dengan kekangan yang wujud terutama sekali dari segi kewangan dan tenaga manusia, kementeriannya melalui JKM berusaha sedaya mungkin untuk menyediakan penjagaan jangka panjang asas kepada penghuni Rumah Ehsan itu dan institusi warga emas yang lain bagi memastikan golongan itu berada dalam persekitaran selesa dan selamat sehinggalah mereka meninggal dunia.

Beliau turut menekankan hala tuju kerajaan dalam aspek penjagaan warga emas adalah dengan pendekatan program dan perkhidmatan berasaskan komuniti secara mapan serta untuk berkongsi tanggungjawab kesejahteraan warga emas antara keluarga, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Konsep menua setempat perlu diberi perhatian sewajarnya agar penempatan warga emas ataupun mana-mana golongan sasar kementerian di institusi kerajaan adalah pilihan terakhir untuk mereka.

“Kesedaran mengenai penuaan jua perlu diterapkan dari peringkat awal bagi persediaan menghadapi usia tua dari segi emosi, kewangan, persekitaran dan minda.

“Peranan ini perlu dimainkan bersama oleh pihak media serta komuniti dan NGO agar setiap warga emas dalam komuniti tidak sama sekali diabaikan,” katanya.

Beliau juga berharap, setiap pihak berkepentingan turut memainkan peranan masing-masing dengan menyediakan rangkaian sokongan yang efektif agar kesejahteraan warga emas di dalam komuniti terus terpelihara. – MalaysiaGazette