Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama menteri-menteri kabinet bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama menteri-menteri kabinet bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MEI 2018

PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) untuk membolehkan orang ramai menderma bagi membantu kedudukan kewangan kerajaan pada masa ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, THM akan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menguruskan dana awam secara telus dan bertanggungjawab.

“Terdapat ramai rakyat yang apabila diketahui bahawa kedudukan kewangan negara sudah menjadi terlalu buruk, mereka sanggup untuk memberi derma kepada kerajaan.

“Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka ini dan kita mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menentukan supaya derma-derma ini akan sampai kepada pihak berkuasa dan bertanggungjawab dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan selepas sidang media itu mengesahkan perkara itu dan pengwujudan THM untuk menggalakkan orang ramai secara sukarela berkongsi pendapatan untuk membantu kerajaan.

“Berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan.

“Mereka secara sukarela menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada Kerajaan bagi menangani isu tersebut

“Bagi membolehkan derma dan sumbangan tersebut diuruskan secara sistemtik dan telus, satu tabung amanah (THM) ditubuh dan diuruskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Guan Eng berkata lagi, bagaimanapun THM hanya menerima derma atau sumbangan berkenaan dalam bentuk mata wang tempatan Ringgit Malaysia (RM) sahaja.

“Sumbangan kepada THM boleh disalurkan melalui akaun Malayan Banking Berhad 566010626452,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast