BERLIN – Perlawanan Piala Dunia 2018 dikuasai Adidas apabila jenama itu berjaya mendominasi sebahagian besar tajaan jersi berbanding seterunya Nike.
Namun, jenama sukan Jerman itu menjangkakan impak kewangan tidak begitu memberangsangkan susulan keadaan ekonomi yang kini agak teruk.
“Piala Dunia di Russia menawarkan penjanaan kewangan yang lebih rendah berbanding acara yang sama empat tahun lalu di Brazil.
“Pada masa yang sama, kami sudah tidak sabar mengintai peluang ini. Ia akan menjadi cara yang hebat untuk kami mensasarkan jenama kami ke peringkat global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Kasper Rorsted.
Jenama sukan unggul itu telah menjana peningkatan jualannya dalam pelbagai jenis barangan sejak 2014 apabila berjaya menandingi Nike terutama dalam kelengkapan sukan bola keranjang berbanding bola sepak.
Bagaimanapun, bola sepak kekal sebagai imej penting untuk syarikat berkenaan yang mana mereka sudah menaja bola Piala Dunia sejak 1970 dan perjanjian itu berlanjutan sehingga 2030.
Adidas juga sudah mengumumkan minggu lalu yang jenama sukan Jerman itu akan meneruskan kerjasama dengan Liga Juara-Juara sehingga 2021. – MalaysiaGazette