Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018

PUTRAJAYA – Janji Manifesto 100 hari selepas pegang tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak akan dipenuhi memandangkan dakwaan hutang negara mencecah RM1 trilion.

Oleh kerana itu, PH telah memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa ‘janji’ sehingga kedudukan kewangan dapat distabilkan dan bertambah baik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan kerajaan kehilangan RM21 bilion, yang mana sebahagian besar akan ditampung dengan meningkatkan hasil berkaitan minyak dan mengurangkan perbelanjaan ke atas projek.

Menurut beliau, pihaknya perlu memastikan kedudukan kewangan kembali pulih dan berada pada tahap selamat supaya janji-janji tersebut dapat dikotakan pada masa terdekat.

Katanya, antara inisiatif yang akan ditangguhkan adalah pemberian subsidi petrol bersasar bagi kereta di bawah 1300 cc dan motor di bawah 125 cc.

“Kita juga akan menangguhkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah seperti yang dijanjikan sebelum ini, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

“Kita juga akan tangguh inisatif peningkatan gaji minum serta pelaksanaan Skim Peduli Sihat ketika ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan akan melaksanakan semua janji 100 hari seboleh mungkin namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab fiskal dan tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan dahulu.

“Masalah kewangan yang sedia ada akan membawa negara ke arah muflis jika tidak dibendung. Kami sebenarnya komited untuk penuhi janji-janji manifesto apabila keadaan kewangan mengizinkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemansuhan GST pada 1 Jun akan diimbangi dengan hasil berkaitan minyak berjumlah RM5.4 bilion dan pembatalan projek-projek tidak perlu yang berjumlah RM10 bilion.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan menjangkakan defisit bajet sebanyak 2.8 peratus pada 2018 seperti yang diunjurkan. – MalaysiaGazette