KUALA LUMPUR – Tular di media sosial sebuah gambar dan video yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai mirip Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dikatakan berada di stesen kereta api St Pancras di London.
Gambar dan video pendek itu dimuat naik seorang pengguna akaun Facebook, Az Eem yang turut membuat pautan kepada Rafizi Ramli yang menerajui Invoke Malaysia.
Mstar Online melaporkan, status tersebut dipaparkan beberapa jam lalu hari ini, dengan keterangan: Bekas KM (Ketua Menteri) Sabah dikesan di St Pancras, London.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu yang berjaket merah dan memakai topi, berdiri bersama troli bagasi dan seorang anak kecil sebagaimana yang ditunjukkan di dalam video tersebut, adalah Musa atau tidak.
Musa dipercayai meninggalkan negara dan pergi ke London tanpa mengikut undang-undang imigresen.
Bagaimanapun, beberapa pegawai Musa mengatakan, ia mungkin gambar dan video lama yang disebarkan.
Musa sehingga kini masih tidak dapat dikesan meskipun beberapa kali membuat kenyataan menerusi peguamnya.
Kenyataan terakhir yang dibuat pada 26 Mei lalu bagi menyampaikan mesej, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk melakukan pemeriksaan di kediamannya.
SPRM mencari Musa berhubung siasatan rasuah dan polis mahu merekodkan keterangan beliau berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin terhadapnya.
Sumber SPRM membayangkan Musa telah meninggalkan negara ini sebelum ia memohon namanya disenarai hitam untuk menghalangnya ke luar negara.
Polis Sabah mahu merakamkan kenyataan daripada Musa, tetapi memberitahu mereka tidak mempunyai waran tangkap terhadap bekas ketua menteri itu, yang disahkan tidak berada di Kota Kinabalu.
Jabatan Imigresen tidak mempunyai rekod Musa ke luar negara. – MalaysiaGazette