Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO Johor mempersoalkan tindakan Menteri Besar negeri itu yang hanya membisu dan tidak sedikit pun bersuara menyatakan pendirian dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak akan meneruskan usaha dan prosiding rayuan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) daripada Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Mohamed Khaled Nordin menegaskan, sikap kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Osman Sapian itu itu amat mendukacitakan kerana Kerajaan Negeri seharusnya peka, aktif dan tegas menyatakan pendirian berhubung perkara itu.

Tambahan pula jelas beliau, Pulau Batu Putih itu terletak berhampiran dengan Johor dan sudah pastilah kedaulatan dan pemilikannya akan memberi kesan yang besar kepada persempadanan dan aktiviti laut di perairan negeri itu.

“Kerajaan Negeri tidak boleh sekadar bersikap acuh tidak acuh dan memilih untuk tidak mengambil peduli perkara yang besar dan sepenting ini.

“Biar apa pun keputusan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor seharusnya mempunyai ketegasan dan menyatakan pendiriannya yang tersendiri berhubung perkara ini.

“UMNO Johor menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Awal minggu lalu, Kerajaan Persekutuan telah dengan rasminya mengumumkan yang negara yang tidak akan meneruskan usaha dan prosiding rayuan Pulau Batu Putih daripada Singapura ICJ.

Mohamed Khaled menambah, keputusan kerajaan bukan sahaja tidak disertakan dengan justifikasi atau alasan yang kukuh.

Malah jelas beliau ia diputuskan ketika Peguam Negara (AG) sedang bercuti.

“Biarpun AG barangkali sudah memberikan nasihat dan pandangan, namun keputusan yang dibuat ketika AG bercuti boleh menimbulkan kontroversi dan kelihatan tidak teratur (improper).

“Lebih penting, keputusan ini secara tidak langsung memberikan satu mesej moral yang tidak baik kepada kita selaku rakyat. Ia menggambarkan yang kita telah berputus asa untuk berjuang berhabis-habisan dalam menuntut perkara yang menjadi hak kita,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar penggal laly menyifatkan keputusan kerajaan bukanlah satu contoh keputusan yang baik.

Ini kerana tegasnya, kerajaan pastinya diharapkan oleh rakyat untuk terus mencuba sedaya upaya untuk menuntut perkara yang menjadi hak dan kedaulatan negara.

“Pedra Branca sentiasa dilihat sebagai sebahagian daripada Johor, dan ia seharusnya kekal sebagai sebahagian daripada Johor dan Malaysia.

“Keputusan untuk tidak meneruskan prosiding tersebut seolah-olah kita menyerah kalah dan melepaskan kedaulatan kita kepada Singapura dengan mudah tanpa mempertahankannya dengan sehabis daya dan usaha.

“Ini adalah isu kedaulatan. Dan bukannya perkara remeh. Ia adalah perkara yang tidak boleh digalang ganti. Jadi, ia mesti dipertahan dan diperjuangkan dengan setegas-tegasnya.

“Lebih-lebih lagi, ekoran wujudnya bukti dan keterangan baharu yang boleh dikemukakan sebelum ini, pihak AG sendiri yakin bahawa kita masih mempunyai kes yang boleh dibawa dan dipertahankan dalam isu ini. Peluang tersebut seharusnya kita gunakan dengan sehabis baik,” ujarnya.

Justeru, Mohamed Khaled memberitahu, atas dasar inilah UMNO Johor berpendirian yang Kerajaan Persekutuan seharusnya meneruskan kes dan prosiding ini serta tidak menghentikannya.

Namun lebih malang katanya, keputusan tersebut langsung tidak mendapat sebarang maklum balas Kerajaan Negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast