Mhd. Amin Nordin Abd Aziz
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 10 projek di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dianggarkan bernilai hampir RM1 bilion dibatalkan serta merta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz mendedahkan projek-projek itu merupakan antara yang belum melalui proses tender terbuka.

Jelas beliau, antara yang dibatalkan atau dihentikan termasuk projek jalan, tempat letak kereta dan juga projek kelab sukan.

“10 projek adalah antara yang belum ditawarkan dan masih dalam peringkat tender menunggu untuk kelulusan, kita akan batalkan semua projek ini yang nilainya hampir RM1 bilion.

“Antara sebab utama mengapa kita ambil keputusan ini adalah termasuk kerana pengurusan dan pembiayaan kewangan yang tinggi. Semua peruntukan kita akan kaji balik terlebih dahulu sebelum luluskan apa-apa.

“Pada masa yang sama, DBKL juga hadapi kesulitan mendapatkan tanah untuk setengah projek-projek ini. Kita juga mahu kurangkan bilangan projek, untuk tahun ini, rasanya sudah cukup projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui pemberita selepas sesi taklimat bersama Majlis Penasihat Kerajaan yang diadakan di Menara Ilham di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mhd Amin enggan mengulas lanjut keputusan tersebut, sebaliknya akan memaklumkan status terkini dalam masa terdekat.

“Semua keputusan ini telah dibuat oleh DBKL sendiri selepas ambil kira pelbagai aspek. Saya tidak mahu ulas apa-apa lagi setakat ini,” ujarnya.

Beberapa hari lepas, Mhd Amin mendedahkan pihaknya akan menghentikan projek mengecat semula perumahan awam (PA) DBKL dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara bernilai RM180 juta.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai sebelum ini mendakwa, seramai 10 kontraktor dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa sebarang tender terbuka.

Mhd Amin Nordin mengesahkan pembatalan projek berkenaan dan DBKL hanya akan membayar kepada kontraktor berdasarkan sebahagian besar kerja mengecat yang berjaya disiapkan setakat ini. – MalaysiaGazette