KUALA LUMPUR – Fred terus mencetuskan spekulasi apabila pemain tengah Brazil itu diberi kebenaran untuk berada di Manchester pada hari ini, lapor BBC Sport.
Pemain tengah Shakhtar Donetsk dikatakan akan menjalani pemeriksaan perubatan bagi merealisasikan perpindahannya yang bernilai 52 juta pound sterling ke Manchester United.
Sebelum ini, Fred membantu Brazil menundukkan Croatia 2-0 di Anfield.
Sementara itu pemain Brazil yang lain dilaporkan kembali ke London untuk meneruskan persediaan aksi Piala Dunia mereka di padang latihan Tottenham.
Fred dijangka kembali ke kem latihan Brazil pada Selasa ini menjelang aksi persahabatan menentang Austria, pada Ahad depan.
Fred yang ditanya sama ada dia akan menjalani pemeriksaan kesihatan hanya berkias memberi jawapan kepada media.
“Saya mahu fokus pada pasukan kebangsaan kerana Piala Dunia dan perlu melupakan perkara lain.
“Namun saya masih tidak tahu ke mana saya akan pergi dan saya masih berunding dengan ejen saya untuk mengetahui realiti itu,” katanya.
Pengurus Brazil, Tite turut bersetuju dengan tindakan Jose Mourinho yang berusaha keras untuk mendapatkan khidmat Fred. – MalaysiaGazette