PUTRAJAYA – Cadangan jawatankuasa mengenai kemalangan bas di Genting Highlands pada Ogos 2013 akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebanyak 51 cadangan disertakan dalam laporan itu termasuk menambah baik sistem berkaitan bas ekspres.
Sebuah jawatankuasa akan bertindak memantau setiap cadangan berkenaan supaya dapat dilaksanakan serta-merta, katanya.
“Saya sudah minta ketua setiausaha kementerian untuk melihat semula laporan itu dan kita nak pantau betul-betul sejauh mana kesemua cadangan itu telah dilaksanakan dalam beberapa tahun ini.”
“Memang saya sedar kemalangan bas ekspres itu isu yang sudah lama berlaku dan saya masih ingat kemalangan membabitkan bas di Genting Highlands dan selepas itu, ada laporan kajian berhubung cadangan menambah baik dari segi sistem bas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Anthony berkata demikian mengulas kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah bas ekspres, semalam menyebabkan tiga maut dalam kejadian di Kilometer 142.4 Lebuhraya PLUS berhampiran susur keluar Pagoh di Muar, Johor.
Mereka yang meninggal dunia adalah pemandu bas ekspres serta dua lagi penumpang bas berkenaan.
Dalam pada itu, Anthony berkata, pihaknya tidak memerlukan sebarang kajian memandangkan sudah banyak dilakukan sebelum ini.
“Kita tidak perlu apa-apa kajian lain kerana macam-macam kajian sudah dibuat tetapi sekarang adalah masa untuk pelaksanaan (cadangan).
“Saya yakin cadangan itu masih relevan, jadi saya akan pantau dan minta supaya jawatankuasa pemantau ini ditubuhkan,” katanya.
Dalam kejadian pada 21 Ogos 2013, seramai 37 maut apabila sebuah bas ulang-alik Genting Highlands – Kuala Lumpur yang membawa 53 penumpang terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter.
Kemalangan itu berlaku sewaktu bas itu menuruni pusat peranginan berkenaan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands – Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette